Ahad, 26 April 2009

7 Golongan Ahli Syurga

Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa terdapat 7 golongan manusia yang dijamin masuk syurga dan akan dilindungi Allah di saat tiada lagi pelindung selain Dia, iaitu :
  1. Pemimpin yang adil.
  2. Seorang pemuda yang hidupnya selalu beribadah kepada Allah.
  3. Lelaki yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid.
  4. Dua orang yang saling menyayangi kerana Allah. Bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
  5. Seorang lelaki yang apabila dirayu untuk melakukan zina oleh seorang wanita cantik, berkedudukan dan kaya, ia berkata: "Tidak, saya takut kepada Allah."
  6. Lelaki yang bersedekah dengan rahsia sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang dikeluarkan oleh tangan kanan.
  7. Lelaki yang berzikir secara bersendirian, air matanya berlinangan kerana takutkan akan azab Allah.

Kisah Saidina Abu Bakar r.a. Dicerca

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa seorang lelaki telah mencerca Abu Bakar r.a. Ketika itu, Rasulullah SAW juga sedang duduk di sana. Baginda SAW tersenyum dan kehairanan melihatkan keadaan lelaki tersebut. Apabila lelaki itu mula bersikap kurang ajar terhadap dirinya, Abu Bakar pun membalas beberapa kata lelaki tersebut. Dengan yang demikian, Rasulullah SAW menjadi amat marah lalu bangun dan diekori oleh Abu Bakar. Abu Bakar berkata kepada Rasulullah SAW: "Lelaki itu bersikap kurang ajar terhadap diriku, oleh kerana itu aku membalasnya. Apabila aku mula membalasnya, kamu meninggalkan kami di tempat itu".

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu tidak membalas kata-katanya, terdapat malaikat yang membalasnya untuk kamu. Walau bagaimanapun apabila kamu mula membalas kata-kata kesatnya itu syaitan mula mengambil tempat dan duduk di antara kamu. Oleh yang demikian, aku tidak mahu duduk bersama-sama dengan syaitan".

Kemudian Rasulullah SAW bersabda lagi: "Ya Abu Bakar! Terdapat tiga perkara yang benar iaitu:
  1. Apabila seorang hamba itu dizalimi dengan satu kezaliman, maka dia meninggalkan tempat itu semata-mata kerana Allah, Allah akan mrnguatkan dan membantunya.
  2. Apabila seseorang itu membuka pintu kedermawanannya dan memberi hadiah, maka Allah akan menambahkan kekayaannya.
  3. Apabila seseorang itu mula meminta-minta untuk menambahkan kekayaannya, maka Allah akan mengurangkan kekayaannya.

Anak Kecil Yang Takut Api Neraka

Dalam sebuah riwayat menyatakan bahawa ada seorang lelaki tua sedang berjalan-jalan di tepi sungai, sedang dia berjalan-jalan dia terpandang seorang anak kecil sedang mengambil wuduk sambil menangis.

Apabila orang tua itu melihat anak kecil tadi menangis, dia pun berkata, "Wahai anak kecil kenapa kamu menangis?"

Maka berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik saya telah membaca al-Qur'an sehingga sampai kepada ayat yang berbunyi, "Yaa ayyuhal ladziina aamanuu quu anfusakum" yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, jagalah olehmu sekalian akan dirimu". Saya menangis sebab saya takut akan dimasukkan ke dalam api neraka."

Berkata orang tua itu, "Wahai anak, janganlah kamu takut, sesungguhnya kamu terpelihara dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalam api neraka."

Berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik, pakcik adalah orang yang berakal, tidakkah pakcik lihat kalau orang menyalakan api maka yang pertama sekali yang mereka akan letakkan ialah ranting-ranting kayu yang kecil dahulu kemudian baru mereka letakkan yang besar. Jadi tentulah saya yang kecil ini akan dibakar dahulu sebelum dibakar orang dewasa."

Berkata orang tua itu, sambil menangis, "Sesungguhnya anak kecil ini lebih takut kepada neraka daripada orang yang dewasa maka bagaimanakah keadaan kami nanti?" Wallahua'lam..

Jumaat, 24 April 2009

Adab Duduk Dalam Majlis

Daripada Abu Waqid al-Laitsi r.a. berkata, "Rasulullah s.a.w. sedang duduk di masjid bersama orang ramai ketika menyampaikan ceramahnya, tiba-tiba datang tiga orang lelaki. Dua daripada mereka mendatangi Nabi s.a.w. sedang yang seorang lagi terus pergi begitu saja. Seorang daripada mereka mencari-cari ruang yang kosong dalam majlis itu, lalu dia duduk di situ. Dan yang seorang lagi terus duduk di belakang.

Tiga Lelaki
Setelah Rasulullah s.a.w. selesai memberikan pengajian Baginda bersabda, "Perhatikanlah, kuberitahukan kepada anda sekalian tentang orang yang bertiga itu. Seorang antaranya mencari tempat di sisi Allah, maka Allah melapangkan tempat baginya. Orang yang kedua malu-malu maka Allah malu pula kepadanya. Dan orang yang ketiga jelas berpaling, maka Allah berpaling pula daripadanya."

Nabi Musa a.s. dan Malaikat Pencabut Nyawa

Daripada Abu Hurairah r.a., ketika itu beliau menyebutkan beberpa hadis, antaranya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Pada suatu ketika Izrail, malaikat maut diutus Allah kepada Nabi Musa a.s., dia berkata, "Sahutlah panggilan Tuhanmu."

Tamparan Musa a.s.
Malaikat maut tersebut lantas ditampar oleh Nabi Musa hingga buta kedua-dua matanya. Malaikat kembali kepada Allah dan berkata, "Ya Allah, Engkau telah menghantar aku kepada seorang hamba yang tidak ingin mati, dan mencucuk mataku."

Kemudian Allah mengembalikan penglihatannya dan berfirman, "Kembalilah dan katakan, "Adakah kamu masih ingin hidup? Jika begitu, letakkan tanganmu di belakang lembu. Untuk setiap bulu yang tertutup oleh tanganmu, engkau masih berkesempatan hidup selama satu tahun."

Musa bertanya,"Setelah itu?" Dia menjawab, "Kemudian kamu akan mati!" Musa berkata, "Kalau begitu sekarang kematian itu sudah dekat!" Ia pun memohon kepada Allah supaya mematikannya dekat Baitul Maqdis dengan jarak satu lemparan batu."

Makam Musa a.s.
Rasulullah s.a.w. seterusnya bersabda, "Jika sekiranya aku berada di sana akan kutunjukkan kepadamu makamnya, iaitu di pinggir jalan berhampiran tompokan-tompokan pasir merah."

Khamis, 23 April 2009

Strategi Iblis Untuk Sesatkan Nabi Ayub a.s.

Nabi Ayub a.s. seorang yang kaya raya dan hidup harmoni bersama keluarganya. Pun begitu, sesuai dengan kedudukannya sebagai nabi, baginda tidak lupa diri. Lidah dan hatinya sentiasa berzikir dan bersyukur dengan nikmat Allah itu. Baginda juga terkenal dengan sifat sabar. Kerana itulah Iblis sangat dengki kepadanya, lalu memohon izin kepada Allah Taala untuk menguji kesabaran Nabi Ayub supaya sesat.

"Engkau boleh datangkan musibah ke atas seluruh harta benda dan keluarganya, tetapi engkau tidak mampu mengenakannya ke atas tubuh badannya,"tegas Allah.

Iblis pun mengumpul kekuatannya. Segala jin dan syaitan dikerah menghadap Iblis. Iblis membahagi-bahagikan mereka kepada beberapa kumpulan. Masing-masing diberikan tugas khas. Misi mereka semua ialah memusnahkan segala-gala milik Nabi Ayub. Selain harta benda musnah, anak-anak Nabi Ayub mati kesemuanya dikerjakan tentera Iblis.

Kemudian Iblis datang menemui Nabi Ayub dan berkata, "Wahai Ayub, lihatlah malapetaka yang Tuhan datangkan kepadamu. Anak-anakmu, harta bendamu kini musnah semuanya. Itulah tandanya Allah tidak terima amal ibadahmu selama ini."

"Allah-lah yang memberi dan Dia jugalah yang mengambilnya semula," jawab Nabi Ayub dengan tenang.

Marah sungguh Iblis mendengar kata-kata itu. Lalu ia kembali menghadap Allah. "Ya Allah! Ayub telah hilang segala-galanya namun imannya tetap teguh. Izinkan aku untuk uji dia lagi, kali ini ke atas tubuh badannya. Biar dia tidak lagi tunaikan ibadah kepada-Mu," mohon Iblis kepada Allah.

"Engkau boleh sakiti tubuh badannya, tetapi tidak hatinya," tegas Allah.

Sekali lagi Iblis dan konco-konconya mendatangkan musibah kepada Nabi Ayub. Ditiupkan penyakit kepada Nabi Ayub. Menderitalah Nabi Ayub menanggung sakit dan dipulaukan orang ramai kerana takut berjangkit. Hanya isterinya yang masih setia di sisi.

Biar habis tubuhnya diserang penyakit, namun hati Nabi Ayub tidak henti-henti memuji dan bertasbih kepada Allah.

Gagal menyesatkan Nabi Ayub, Iblis menggoda pula isteri baginda. Sehinggakan isterinya berasa tidak tertanggung lagi dengan kehidupan itu. Dia menyuruh Nabi Ayub berdoa kepada Allah agar dipulihkan keadaan.

"Telah berapa lama kita nikmati hidup mewah pemberian Allah?" tanya Nabi Ayub kepada isterinya.

"Tujuh puluh tahun," jawab isterinya.

"Berapa lama pula kita menanggung penderitaan ini?"

"Tujuh tahun," jawab isterinya lagi.

"Aku malu untuk memohon kepada Allah supaya ditamatkan penderitaan ini jika dibandingkan dengan nikmat yang diberi-Nya selama ini. Marilah kita sama-sama bersabar menghadapinya."

Iblis tewas dalam usahanya menghasut Nabi Ayub. Ternyata, kesabaran merupakan senjata ampuh untuk menundukkan Iblis laknatullah. Bertambah-tambah bencilah Iblis kepada Nabi Ayub.

Diampunkan Dosa Kerana Seekor Anjing

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Ketika seorang lelaki sedang dalam perjalanan, ia berasa dahaga. Lantas ia masuk ke dalam sebuah telaga yang dalam, lalu minum air di dalamnya. Setelah dia keluar didapatinya seekor anjing di tepi telaga sedang menjelirkan lidahnya dan menjilat-jilat tanah lembap kerana kehausan. Orang itu berkata, "Anjing ini merasakan apa yang baru saja saya rasakan."

Terampun dosanya
Kemudian ia kembali turun ke dasar telaga semula untuk mengambil air. Dia telah mengisi kasutnya dengan air lalu membawanya naik dengan menggigit kasut itu. Sesampainya di atas ia memberi minum anjing tersebut. Kerana perbuatannya itu Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya."

Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah jika kami mengasihi binatang, kami juga mendapat pahala?" Baginda bersabda, "Berbuat baik kepada setiap makhluk pasti mendapat pahala."

19 Hadis Mengenai Wanita

  1. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w. akan hal tersebut, jawab Baginda s.a.w., "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".
  2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah s.w.t. mencatatkan baginya setiap hari dengan 1000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1000 kejahatan.
  3. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.
  4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.
  5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.
  6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t. memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah s.w.t.
  7. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah s.w.t. dan orang yang takutkan Allah s.w.t.akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.
  8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah). Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.
  9. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10000 tahun).
  10. Perempuan apabila sembahyang 5 waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.
  11. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1000 lelaki yang soleh.
  12. Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w., siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah s.a.w., "Suaminya". Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah s.a.w., "Ibunya".
  13. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.
  14. Wanita yang taat kepada suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya.
  15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana pintu-pintu yang dia kehendaki tanpa dihisab.
  16. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.
  17. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi Muhammad s.a.w.) di dalam syurga.
  18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta tanggungjawab, maka baginya syurga.
  19. Daripada Aisyah r.a."Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.

Kasih Sayang Allah Sangat Luas

Daripada Abu Said al-Khudri r.a., Nabi Muhammad s.a.w. bersabda bahawa pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang telah membunuh manusia sehingga mencapai 99 orang. Pada suatu hari, dia ingin bertaubat lalu mencari-cari orang yang berilmu di negeri itu yang dapat memberikan bimbingan. Dia telah dibawa kepada seorang pendeta, lantas dia menceritakan kejahatannya membunuh 99 orang dan dia bertanya, "Adakah taubatku masih diterima?"

Genap 100
Kemudian pendeta itu mengatakan, "Tidak, taubatmu tidak akan diterima." Lantas orang itu membunuh sang pendeta tadi. Maka genaplah menjadi 100 orang yang telah dibunuhnya. Dia pun terus mencari-cari lagi orang yang paling alim yang lain di negeri itu untuk meminta nasihat. Maka dia pun dibawa kepada seseorang yang paling alim (ahli ilmu).

Dia menceritakan bahawa ia telah membunuh 100 orang, maka apakah masih diterima taubatnya? Orang alim itu menjawab, "Ya, masih boleh. Siapakah yang berhak menghalangi seseorang untuk bertaubat? Pergilah ke daerah sana kerana penduduk daerah itu menyembah Allah s.w.t. Sembahlah Allah bersama-sama dengan mereka dan janganlah engkau kembali lagi ke kampung halamanmu kerana perkampunganmu daerah hitam (banyak melakukan maksiat)."

Perebutan 2 Malaikat
Maka orang itu pergilah ke tempat tersebut. Apabila sampai di tengah perjalanan, dia pun meninggal dunia. Kemudian malaikat rahmat dan malaikat azab bertengkar merebutkan orang itu. Malaikat rahmat membela, "Dia pergi ke sana kerana benar-benar ingin bertaubat dan menyerahkan dirinya dengan sepenuh hati kepada Allah s.w.t." Sedang malaikat azab berhujah dengan katanya, "Sesungguhnya dia belum pernah berbuat kebaikan walaupun sedikit."

Ukuran Syurga dan Neraka
Lantas malaikat yang lain diutuskan Allah dan kedua-dua malaikat itu bersepakat menjadikannya sebagai hakim. Malaikat yang menjadi hakim itu berkata, "Ukurlah jarak kedua-dua daerah itu, dan nasibnya akan ditentukan berdasarkan yang lebih hampir."

Apabila diukur, mereka mendapati daerah yang ingin dituju itulah yang lebih hampir. Dengan demikian, dia diterima oleh malaikat rahmat."

Nabi Muhammad SAW menewaskan ahli gusti zamannya

Daripada Abu Daud dan al-Tirmizi, daripada Abi Ja'far bin Muhammad bin Rukanah daripada bapanya mengatakan bahawa Rukanah pernah mencabar Baginda untuk beradu kekuatan. Lalu apabila mereka berlawan, Baginda telah mengalahkannya.


Nabi menundukkannya 3 kali!
Dalam riwayat oleh Abu Bakr al-Syafi'i dengan sanad yang baik daripada Ibn Abbas r.a., bahawa Yazid bin Rukanah, seorang pendekar yang terkenal dengan kekuatannya, telah mencabar Baginda untuk bergusti. Beliau mengenakan bayaran 100 ekor kambing kepada sesiapa yang kalah. Lalu, Nabi s.a.w. telah menundukkannya sebanyak 3 kali dalam 3 pusingan.

Tiada siapa...
Akhirnya dia berkata: "Wahai Muhammad! Tiada siapa pun pernah dapat membaringkan aku (jatuh terlentang) dalam pertarungan selainmu! Sebelum ini engkaulah yang paling aku benci. Tapi sekarang aku naik saksi tiada Tuhan yang lebih benar yang berhak disembah melainkan Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w. itu Rasulnya." Nabi s.a.w. kemudiannya telah mengembalikan semula kambing-kambing yang diserahkan sebagai pertaruhannya itu.

Kisah Ka'ab dan Jin

Ka'ab pernah bercerita tentang stor tempat menyimpan buah-buahan yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Setiap hari stor ini dijaga dengan rapi agar tiada barang yang hilang. Namun lain pula hal yang berlaku. Setiap hari ada saja barang yang hilang. Pada suatu malam ia menjaga stor itu dengan teliti. Ia mengelilingi stor itu beberapa kali dan akhirnya menjumpai seekor haiwan yang kecil dan aneh bentuknya. Ia bertanya kepada haiwan itu: "Apakah engkau manusia atau jin?" Haiwan itu mengakui bahawa dirinya adalah jin.

Ka'ab bertanya lagi kepada jin itu: "Mengapa engkau mencuri harta milikku?" Ia menjawab: "Telah sampai berita kepadaku bahawa engkau adalah orang yang suka bersedekah. Aku ingin sekali mendapat bahagian daripada sedekahmu itu."

Kemudian Ka'ab bertanya lagi: "Apakah yang dapat menyelamatkan kami daripada gangguanmu?" Jawab jin itu: "Ayat Kursi yang terdapat dalam Surah Al-Baqarah ayat 255."

Pada pagi hari esoknya Ka'ab pergi ke rumah Rasulullah dan menceritakan kejadian tersebut. Rasulullah s.a.w. mengakui kebenaran apa yang diucapkan oleh jin itu.

(Riwayat Abul Qasim daripada Ubai bin Ka'ab)

Rabu, 22 April 2009

Kisah Iblis dengan Nabi Yahya a.s.

Iblis pernah menjelma di depan Nabi Yahya a.s. Di lehernya ada beberapa kalungan. Lagaknya sangat angkuh memperlihatkan kalungan-kalungan itu. Sengaja agaknya nak menunjuk-nunjuk kepada Nabi Yahya. Sudah begitu sifat Iblis. Angkuh dan suka berlagak.

"Kalungan apa yang kamu pakai itu?" soal Nabi Yahya.

"Kalung-kalung ini ialah nafsu syahwat yang aku dapat daripada anak Adam,"jawab Iblis penuh bangga.

"Adakah kamu berjaya mendapatnya daripada aku?"

"Kalau kamu makan sekenyang-kenyangnya, barulah aku dapat goda kamu supaya malas solat dan berzikir," jawab Iblis.

"Selain itu?"

"Tak ada," jawab Iblis.

"Demi ALLAH, jika begitulah keadaannya, aku tidak akan makan sekenyang-kenyangnya lagi," tegas Nabi Yahya.

Sedarlah Iblis, rupa-rupanya ia telah mendedah rahsia mudah menggoda manusia supaya lalai berbuat amal ibadah. Manusia apabila kekenyangan, syaitan mudah menggoda nafsunya agar lalai. Nafsu syahwat yang berjaya digoda inilah yang menjadi kalung-kalung anugerah kepada Iblis. Jadi kalau tak nak "sedekah" kalung pada Iblis, makanlah ikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Baginda makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang. Ini menyempitkan laluan Iblis dan syaitan untuk goda kita.

Berkenalan dengan beberapa ekor Syaitan



  1. A'awan Kerja syaitan ini adalah menghasut pemerintah atau raja. Raja atau pemerintah kalau tidak hirau dengan kehidupan rakyat, tak rajin jenguk rakyat, hanya seronok dengan kedudukan dan kekayaan, maka itu tandanya dia telah dihasut oleh syaitan A'awan.
  2. Lakhuus Syaitan jenis ini suka dekati orang-orang Majusi yang menyembah api supaya mereka terus sesat dan tak dapat petunjuk.
  3. Haffaf Inilah syaitan yang jadi teman kaki-kaki botol di kelab malam, disko dan lain-lain untuk menghasut dan melalaikan mereka.
  4. Murrah Kerja syaitan ini merosakkan ahli-ahli muzik hingga lalai dari mengingati Allah. Ahli muzik yang lalai ini akan menghasilkan muzik yang melalaikan orang lain.
  5. Zalitun Syaitan ini kerjanya menghasut manusia di pasar. Termasuklah di pasar malam, pasar minggu, pasar raya, pasar mini, karnival dan segala macam tempat tumpuan orang untuk membeli barang. Antara bidang tugas mereka yang utama adalah menghasut manusia membazirkan duit. Sememangnya amalan syaitan ialah suka membazir. Jadi, dia hendak tarik manusia supaya jadi macam dia. Syaitan ini juga kerjanya menghasut penjual supaya menipu pembeli.
  6. Waathiin Ini jenis syaitan yang suka menghimpit orang yang diuji Allah dengan musibah. Dia hasut orang ini supaya sangka buruk dengan Allah. Hasutan syaitan ini menyebabkan manusia cepat berputus asa serta mekin jauh dengan Allah. Peranan syaitan ini lebih kurang sama dengan syaitan bernama Tsabar yang bertaraf menteri dalam kerajaan Iblis Laknatullah. Wallahua'lam...
  7. Masuud Tidak dapat dipastikan adakah syaitan ini sama dengan syaitan yang bernama Maswath yang tugasnya menyebarkan pembohongan. Mengikut apa yang disebut dalam kitab, syaitan ini duduk di bibir mulut agar timbul penyakit yang bermula dari mulut seperti mengumpat, memfitnah, menyebarkan pembohongan, khabar angin dan lain-lain.
  8. Dasim Peranannya adalah memporak-perandakan rumah tangga.
  9. Walahan (Wilhan) Syaitan ini pakar dalam melahirkan perasaan was-was di dalam hati manusia.

Ciri-Ciri Orang Yang Bermotivasi

1. Sentiasa awal dan mendahului.
2. Sentiasa bersemangat.
3. Sentiasa tekun dan rajin.
4. Sentiasa positif dan optimis.
5. Kenal potensi dan kehebatan diri.
6. Sentiasa cekal dan tabah.
7. Sentiasa memperbaiki diri dan keadaan.
8. Sentiasa menghasilkan kerja yang cemerlang.
9. Sentiasa bersyukur.
10. Sentiasa berdoa.
11. Sentiasa tawadduk.
12. Menerima teguran.
13. Memberi maaf.
14. Bijak menyelesaikan masalah.
15. Mengambil pendekatan yang mudah dalam tindakan.
16. Sentiasa jujur dan ikhlas kerana ALLAH.

Adab Bersama Guru

  1. Taat kepada guru dalam semua perkara kecuali perkara yang maksiat kepada Allah dan Rasul.
  2. Bertutur dengan lemah lembut dan penuh rendah diri.
  3. Meminta izin untuk bertanya atau beredar dari majlis.
  4. Memberi salam apabila berjumpa dan sentiasa hormatkannya.
  5. Beri sepenuh tumpuan dalam pengajaran guru, duduk dengan sopan dan sentiasa dalam keadaan tenang.
  6. Lakukan apa yang paling disenangi oleh guru.
  7. Hindari dari menyinggung perasaan guru.
  8. Mendoakan keampunan dan kesejahteraan mereka.
  9. Selalu menziarahi mereka atau menziarahi maqam mereka setelah mereka meninggal.
  10. Mengambil berkat dengan mereka, doa mereka, bekas atau lebihan air atau makanan mereka. Begitu juga dengan tempat mereka mengajar atau orang-orang yang akrab dengan mereka.

Syaitan Gagal Perdaya Syeikh Abdul Kadir

Satu ketika Syeikh Abdul Kadir Jailani mendengar satu suara,"Wahai Abdul Kadir, aku adalah Tuhanmu. Engkau telah mencapai darjat kekasihku. Mulai hari ini telah kuhalalkan bagimu apa yang aku haramkan kepada hamba-hambaku." Mendengar seruan begitu, tahulah Syeikh Abdul Kadir bahawa itu suara syaitan yang cuba memperdayanya. "Celakalah kau syaitan! Sesungguhnya Tuhanku tidak akan menghalalkan apa yang telah diharamkan-Nya.

Syaitan tidak putus asa, lalu berkata, "Telah ramai wali Allah yang berjaya kusesatkan dengan helahku, tapi engkau telah selamat dari tipuanku kerana ilmumu yang tinggi."

"Celakalah engkau," balas Syeikh Abdul Kadir, "bukan ilmuku yang menyelamatkan aku dari sebarang tipu dayamu, tapi rahmat Allah jualah yang dapat menyelamatkan aku."

Selepas itu syaitan pun beredar kerana gagal memperdaya Syeikh Abdul Kadir Jailani.

Lagu


Berlin - Instrumental Mp3
Mp3-Codes.com
Related Posts with Thumbnails