Galeri Arkeologi Lembah Bujang
Muzium Arkeologi yang mempamerkan pelbagai artifak arkeologi protosejarah sejak dari kurun ke 2 hingga ke 14 Masihi ini terletak di Bukit Batu Pahat, Mukim Merbok, Sungai Petani, Kedah. Terdapat lebih kurang 1000 artifak yang dipamerkan dan 2500 yang masih dikaji.
Muziun Arkeologi Lembah Bujang ini mempunyai 2 buah galeri utama yang dipamerkan:
- Lembah Bujang sebagai pusat dagangan di Asia Tenggara yang mengendalikan perdagangan kargo dan India serta para pedagang maritim dan Kepulauan Melayu.
- Artifak kebudayaan dan senibina yang berhubung dengan keagamaan serta membuktikan kewujudan tamadun Hindu-Buddha di Lembah Bujang.
Candi Bukit Batu Pahat - Antara Monumen Terbesar di Lembah Bujang
Ia terletak di sebelah barat Sungai Batu Pahat kira-kira 3 km di utara Kampung Sungai Merbok. Di antara peninggalan sejarah yang boleh didapati adalah candi Siva dan 66 pelapik tiang daripada tiang kayu. Monumen ini dipercayai diperbuat daripada kayu dan batu granit. Tiang-tiang kayu dan bumbung kuil ini telah lapuk ditelan masa dan tidak lagi bertahan.
Riadah Untuk Seisi Keluarga
Persekitaran Muzium Arkeologi Lembah Bujang sungguh sesuai bagi aktiviti kekeluargaan. Sebagai contohnya, landskap hutan tropikanya penuh keunikan flora dan fauna serta keindahan Sungai Merbok sesuai untuk mandi-manda, berkelah dan 'hiking'.
Bagi mereka yang berminat dengan pelancongan agro terdapat pemandangan sawah padi untuk dinikmati. Pengunjung juga boleh menghayati keindahan air terjun yang terdapat di sekitarnya atau menikmati pemandangan dari Gunung Jerai yang berketinggian 1360 meter. Gunung ini dianggap suci sewaktu zaman pengaruh Hindu-Buddha di Lembah Bujang.
0 ulasan:
Catat Ulasan