Khamis, 23 April 2009

Kasih Sayang Allah Sangat Luas

Daripada Abu Said al-Khudri r.a., Nabi Muhammad s.a.w. bersabda bahawa pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang telah membunuh manusia sehingga mencapai 99 orang. Pada suatu hari, dia ingin bertaubat lalu mencari-cari orang yang berilmu di negeri itu yang dapat memberikan bimbingan. Dia telah dibawa kepada seorang pendeta, lantas dia menceritakan kejahatannya membunuh 99 orang dan dia bertanya, "Adakah taubatku masih diterima?"

Genap 100
Kemudian pendeta itu mengatakan, "Tidak, taubatmu tidak akan diterima." Lantas orang itu membunuh sang pendeta tadi. Maka genaplah menjadi 100 orang yang telah dibunuhnya. Dia pun terus mencari-cari lagi orang yang paling alim yang lain di negeri itu untuk meminta nasihat. Maka dia pun dibawa kepada seseorang yang paling alim (ahli ilmu).

Dia menceritakan bahawa ia telah membunuh 100 orang, maka apakah masih diterima taubatnya? Orang alim itu menjawab, "Ya, masih boleh. Siapakah yang berhak menghalangi seseorang untuk bertaubat? Pergilah ke daerah sana kerana penduduk daerah itu menyembah Allah s.w.t. Sembahlah Allah bersama-sama dengan mereka dan janganlah engkau kembali lagi ke kampung halamanmu kerana perkampunganmu daerah hitam (banyak melakukan maksiat)."

Perebutan 2 Malaikat
Maka orang itu pergilah ke tempat tersebut. Apabila sampai di tengah perjalanan, dia pun meninggal dunia. Kemudian malaikat rahmat dan malaikat azab bertengkar merebutkan orang itu. Malaikat rahmat membela, "Dia pergi ke sana kerana benar-benar ingin bertaubat dan menyerahkan dirinya dengan sepenuh hati kepada Allah s.w.t." Sedang malaikat azab berhujah dengan katanya, "Sesungguhnya dia belum pernah berbuat kebaikan walaupun sedikit."

Ukuran Syurga dan Neraka
Lantas malaikat yang lain diutuskan Allah dan kedua-dua malaikat itu bersepakat menjadikannya sebagai hakim. Malaikat yang menjadi hakim itu berkata, "Ukurlah jarak kedua-dua daerah itu, dan nasibnya akan ditentukan berdasarkan yang lebih hampir."

Apabila diukur, mereka mendapati daerah yang ingin dituju itulah yang lebih hampir. Dengan demikian, dia diterima oleh malaikat rahmat."

0 ulasan:

Catat Ulasan

Lagu


Berlin - Instrumental Mp3
Mp3-Codes.com
Related Posts with Thumbnails