Nabi Ayub a.s. seorang yang kaya raya dan hidup harmoni bersama keluarganya. Pun begitu, sesuai dengan kedudukannya sebagai nabi, baginda tidak lupa diri. Lidah dan hatinya sentiasa berzikir dan bersyukur dengan nikmat Allah itu. Baginda juga terkenal dengan sifat sabar. Kerana itulah Iblis sangat dengki kepadanya, lalu memohon izin kepada Allah Taala untuk menguji kesabaran Nabi Ayub supaya sesat.
"Engkau boleh datangkan musibah ke atas seluruh harta benda dan keluarganya, tetapi engkau tidak mampu mengenakannya ke atas tubuh badannya,"tegas Allah.
Iblis pun mengumpul kekuatannya. Segala jin dan syaitan dikerah menghadap Iblis. Iblis membahagi-bahagikan mereka kepada beberapa kumpulan. Masing-masing diberikan tugas khas. Misi mereka semua ialah memusnahkan segala-gala milik Nabi Ayub. Selain harta benda musnah, anak-anak Nabi Ayub mati kesemuanya dikerjakan tentera Iblis.
Kemudian Iblis datang menemui Nabi Ayub dan berkata, "Wahai Ayub, lihatlah malapetaka yang Tuhan datangkan kepadamu. Anak-anakmu, harta bendamu kini musnah semuanya. Itulah tandanya Allah tidak terima amal ibadahmu selama ini."
"Allah-lah yang memberi dan Dia jugalah yang mengambilnya semula," jawab Nabi Ayub dengan tenang.
Marah sungguh Iblis mendengar kata-kata itu. Lalu ia kembali menghadap Allah. "Ya Allah! Ayub telah hilang segala-galanya namun imannya tetap teguh. Izinkan aku untuk uji dia lagi, kali ini ke atas tubuh badannya. Biar dia tidak lagi tunaikan ibadah kepada-Mu," mohon Iblis kepada Allah.
"Engkau boleh sakiti tubuh badannya, tetapi tidak hatinya," tegas Allah.
Sekali lagi Iblis dan konco-konconya mendatangkan musibah kepada Nabi Ayub. Ditiupkan penyakit kepada Nabi Ayub. Menderitalah Nabi Ayub menanggung sakit dan dipulaukan orang ramai kerana takut berjangkit. Hanya isterinya yang masih setia di sisi.
Biar habis tubuhnya diserang penyakit, namun hati Nabi Ayub tidak henti-henti memuji dan bertasbih kepada Allah.
Gagal menyesatkan Nabi Ayub, Iblis menggoda pula isteri baginda. Sehinggakan isterinya berasa tidak tertanggung lagi dengan kehidupan itu. Dia menyuruh Nabi Ayub berdoa kepada Allah agar dipulihkan keadaan.
"Telah berapa lama kita nikmati hidup mewah pemberian Allah?" tanya Nabi Ayub kepada isterinya.
"Tujuh puluh tahun," jawab isterinya.
"Berapa lama pula kita menanggung penderitaan ini?"
"Tujuh tahun," jawab isterinya lagi.
"Aku malu untuk memohon kepada Allah supaya ditamatkan penderitaan ini jika dibandingkan dengan nikmat yang diberi-Nya selama ini. Marilah kita sama-sama bersabar menghadapinya."
Iblis tewas dalam usahanya menghasut Nabi Ayub. Ternyata, kesabaran merupakan senjata ampuh untuk menundukkan Iblis laknatullah. Bertambah-tambah bencilah Iblis kepada Nabi Ayub.
Khamis, 23 April 2009
Lagu
Berlin - Instrumental Mp3
Mp3-Codes.com
0 ulasan:
Catat Ulasan