Ahad, 8 Ogos 2010

Berpuasa hati, keinginan zahir dan batin..

Cuma tinggal tiga hari saja lagi Ramadan bakal menjelma, sekali gus menyaksikan pemergian Syaaban. Sebagaimana kita maklum, apabila tiba Ramadan, diwajibkan ke atas setiap umat Islam untuk berpuasa pada siang hari dan berbuka apabila tiba waktunya.

Berpuasa pada Ramadan bukan sekadar satu tuntutan, sebaliknya termaktub ia satu daripada lima perkara yang dituntut dalam Rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, menunaikan haji ke Makkah bagi yang mampu dan menunaikan zakat.

Perintah ini jelas dalam firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183: "Wahai orang2 yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang2 yang dulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."

Rasulullah SAW juga bersabda: "Apabila tibanya Ramadan, Allah SWT membuka pintu langit, pintu segala kebaikan, pintu rahmatnya kepada umat Islam dan ditutup serapat-rapatnya pintu neraka. Dengan terbenamnya fajar menandakan kedatangan Ramadan, dibelenggu setiap jin dan syaitan bagi memudahkan umat Islam berpuasa tanpa gangguan."

Berdasarkan ayat ini Rasulullah SAW mengingatkan bahawa tiada alasan bagi umat Islam meninggalkan amal ibadat berikutan ditutup oleh Allah SWT setiap tipu daya jin, syaitan dan iblis laknatullah. Sebaliknya, yang tinggal hanya tipu daya serta hasutan nafsu individu itu sendiri.

Bagi yang memuliakan bulan ini dengan berpuasa dan bersedekah, menghidupkan rumah Allah dengan bacaan al-Quran serta menghidupkan malam dengan ikhlas mengingati Allah, mereka dilimpahi oleh Allah dengan rahmatnya.

Namun Rasulullah SAW juga menyatakan apabila tiba Ramadan, umat Islam yang berpuasa akan terbahagi kepada dua golongan iaitu mereka yang berpuasa dan mendapatkan rahmat serta keredhaan Allah SWT dengan pelbagai ganjaran manakala selebihnya hanya mendapat lapar dan dahaga tanpa apa-apa pahala serta ganjaran dari-Nya.

Perkara ini juga pernah dinyatakan oleh Imam Ghazali yang membahagikan puasa kepada tiga peringkat iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa istimewa.

Menurutnya, puasa umum adalah apabila seseorang itu berpuasa sekadar menghindarkan diri daripada makan, minum dan keinginan syahwat, manakala puasa khusus pula puasa orang yang menahan pancaindera daripada melakukan dosa.

Sebaik-baik puasa bagi umat Islam adalah puasa ketiga iaitu puasa istimewa, di mana apabila melakukan puasa itu dia melaksanakan sebagaimana puasa umum dan khusus di samping menjaga hati daripada keinginan zahir serta batin.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Lagu


Berlin - Instrumental Mp3
Mp3-Codes.com
Related Posts with Thumbnails