Ahad, 11 Julai 2010

Syaaban bulan menghapuskan dosa

Sabda Rasulullah SAW: "Bulan Rejab adalah bulan Allah SWT, bulan Syaaban adalah bulanku, dan bulan Ramadan pula adalah bulan bagi umatku."

Sebagaimana kita ketahui, kita kini berada di penghujung Rejab. Dalam tempoh dua hari lagi menyusul kedatangan Syaaban iaitu bulan yang dianggap sebagai pintu gerbang bagi menanti kedatangan Ramadan.

Sebagaimana Ramadan yang penuh dengan kemuliaan, Syaaban adalah bulan untuk menghapuskan dosa sementara Ramadan pula adalah bulan menyucikan diri daripada dosa. Antara amalan yang sangat digalakkan pada bulan ini adalah dengan beramal seikhlas hati kepadanya, terutama melakukan puasa.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa berpuasa sehari dalam bulan Syaaban, diharamkan oleh Allah keatas tubuhnya (orang yang berpuasa) dari api neraka. Dia akan menjadi rakan taulan Nabi Yusuf di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Ayub dan Nabi Daud. Jika dia berpuasa sebulan dalam bulan ini, dimudahkan Allah akan saat matinya, dan terlepas daripada kegelapan alam kubur, bebas daripada huru hara Munkar dan Nakir, ditutup Allah akan aibnya, dan diwajibkan syurga ke atasnya."

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya bagi sesiapa yang berpuasa selama tiga hari pada permulaan Syaaban, tiga hari di pertengahan dan tiga hari di akhir Syaaban, akan mendapat pahala 70 orang nabi, dan seperti orang beribadah 70 tahun dan jika dia mati pada tahun itu, matinya seperti mati syahid."

Itulah antara kelebihan berpuasa pada Syaaban. Di samping itu berpuasa dalam bulan ini juga sebagai persediaan untuk melakukan ibadat puasa selama sebulan pada Ramadan.

Selain memohon doa, umat Islam digalakkan bertaubat dan memohon keampunan Allah SWT sebagaimana dinyatakan, dalam bulan ini juga ada satu malam yang sangat istimewa yang dikenali sebagai "Nisfu Syaaban".

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: "Apabila tibanya malam ini, datanglah Malaikat Jibril lalu memberitahu sesungguhnya pintu-pintu langit serta pintu-pintu rahmat Allah SWT sudah pun dibuka. Maka, bagi orang yang beriman dan beramal soleh, dirikanlah solat dengan disertai doa kerana dibukakan oleh Allah SWT 300 pintu rahmat-Nya.

Jadi, antara kelebihan yang Allah SWT kurniakan pada hambanya, diberi dalam Syaaban bagi mereka yang ikhlas dan bersungguh-sungguh melakukan amalan mereka.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Lagu


Berlin - Instrumental Mp3
Mp3-Codes.com
Related Posts with Thumbnails