Rabu, 12 Mei 2010

Balasan meninggalkan solat

Diriwayatkan bahawa pada satu hari, ketika Rasulullah SAW duduk bersama sahabat, datang pemuda Arab masuk ke dalam masjid sambil menangis. Baginda bertanya: "Wahai orang muda, mengapa kamu menangis?"

Pemuda itu menjawab: "Rasulullah, ayahku meninggal dunia dan tidak ada kain kafan dan tidak ada orang hendak memandikannya." Lalu baginda memerintahkan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar RA membantu pemuda berkenaan.

Sampai di kediaman pemuda berkenaan, kedua-dua sahabat baginda mendapati ayah pemuda itu bertukar rupa menjadi babi hitam. Mereka pun kembali dan memaklumkan kepada baginda: "Ya Rasulullah, kami lihat mayat ayah orang itu menjadi babi hutan yang hitam."

Rasulullah SAW dan sahabat kemudian pergi ke rumah pemuda berkenaan. Orang muda dan baginda berdoa kepada Allah SWT. Tidak lama kemudian, mayat itu bertukar menjadi bentuk manusia semula.

Baginda dan sahabat kemudian menyembahyangkan mayat berkenaan. Apabila mayat itu hendak dikebumikan, sekali lagi ia berubah menjadi seperti babi hutan yang hitam.

Rasulullah SAW pun bertanya pemuda itu: "Wahai orang muda, apakah yang dilakukan oleh ayahmu sewaktu dia di dunia dulu?"

Pemuda itu menjawab: "Sebenarnya ayahku tidak mahu mengerjakan solat." Baginda kemudian bersabda: "Wahai sahabatku, lihatlah keadaan orang yang hendak meninggalkan solat. Di hari kiamat nanti akan dibangkitkan oleh Allah SWT seperti babi hutan yang hitam."

Di zaman Abu Bakar RA, ada seorang lelaki yang meninggal dunia dan sewaktu mereka menyembahyangkannya, kain kafan membaluti tubuh mayat itu bergerak-gerak. Apabila ia dibuka, mereka melihat seekor ular membelit leher, memakan daging dan menghisap darah mayat terbabit lalu mereka cuba membunuh ular itu.

Ular itu berkata: "Mengapakah kamu semua hendak membunuh aku. Aku tidak berdosa dan aku tidak bersalah. Allah SWT yang memerintahku supaya menyeksanya sehingga hari kiamat."

Lalu sahabat bertanya: "Apakah kesalahan yang sudah dilakukan oleh mayat ini?"

Ular itu menjawab: "Dia melakukan tiga kesalahan iaitu apabila dia mendengar azan, dia tidak mahu datang untuk sembahyang berjemaah. Dia tidak mahu mengeluarkan zakat hartanya serta tidak mahu mendengar nasihat ulama. Maka inilah balasannya."

0 ulasan:

Catat Ulasan

Lagu


Berlin - Instrumental Mp3
Mp3-Codes.com
Related Posts with Thumbnails